Advocates . Solicitors . Syarie Counsel . Certified Mediator

News & Events

Jangan Berdiam Diri Apabila Disaman

SAMAN boleh disampaikan kepada mana-mana pihak, sama ada kepada seorang individu, sebuah syarikat kerajaan atau swasta, termasuklah kerajaan Malaysia sendiri. Tetapi, ramai yang masih tidak tahu apa yang kena buat apabila menerima saman. Jadi, kebanyakan orang yang disaman selalunya memilih untuk berdiam diri dan abaikan saman tersebut. Namun, itu adalah langkah paling utama yang patut dielakkan bagi orang-orang yang disaman.

Saman selalunya disampaikan dalam bentuk sesalinan Writ yang dilampirkan bersama Pernyataan Tuntutan. Melalui Saman tersebut, orang yang disaman boleh mengetahui nama dan alamat pihak yang menyaman mereka, fakta-fakta mengenai tuntutan, atas dasar apa mereka disaman, apa yang dituntut oleh pihak yang menyaman, di Mahkamah mana mereka disaman termasuklah nama dan alamat pejabat peguamcara yang dilantik oleh pihak yang menyaman.

Antara langkah yang perlu diambil oleh orang yang disaman adalah seperti berikut:

  1. Baca dan fahami isi kandungan Saman.

Orang yang disaman perlu pastikan bahawa setiap butiran yang terdapat dalam Saman tersebut adalah merujuk kepada diri mereka, dan bukan orang lain. Contohnya, mereka perlu pastikan bahawa Saman tersebut mempunyai meterai mahkamah yang sah dan telah ditandatangani oleh Pendaftar Mahkamah. Seterusnya, mereka perlu pastikan yang nama, nombor kad pengenalan dan alamat mereka adalah betul. Jika terdapat nilai tuntutan yang dituntut oleh pihak yang menyaman, mereka kena pastikan sama ada nilai tuntutan itu betul dan selaras dengan perjanjian yang pernah ditandatangani oleh mereka.

Kemudian, mereka juga perlu memahami segala fakta yang terdapat dalam Saman tersebut. Contohnya, mereka perlu faham apa yang dituntut oleh pihak yang menyaman dalam Saman tersebut, atas sebab apa mereka disaman, hubungan mereka dengan pihak yang menyaman dan sebagainya.

2. Masukkan Memorandum Kehadiran (MOA).

Selepas baca dan fahamkan Saman tersebut, orang yang disaman perlu masukkan atau failkan Memorandum Kehadiran tidak kira sama ada mereka bersetuju atau tidak bersetuju dengan kandungan Saman tersebut.

Apa itu Memorandum Kehadiran? Memorandum Kehadiran ini sebenarnya merupakan suatu permintaan kepada Pejabat Pendaftaran untuk memasukkan kehadiran bagi seseorang defendan atau defendan-defendan sebagaimana yang dinyatakan dalam memorandum tersebut.

Bila perlu masukkan Memorandum Kehadiran ini? Orang yang disaman perlu masukkan Memorandum tersebut dalam tempoh empat belas (14) hari, selepas hari penyampaian Saman tersebut selaras dengan Aturan 12 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Bagaimana nak masukkan Memorandum tersebut? Memorandum ini boleh difailkan sama ada melalui peguambela, atau secara sendiri mengikut Aturan 12 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Sekiranya lewat, orang yang disaman tidak boleh failkan Memorandum tersebut selepas suatu Penghakiman telah dimasukkan terhadap mereka oleh pihak yang menyaman kecuali dengan kebenaran daripada Mahkamah selaras dengan Aturan 12 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

3. Masukkan Pembelaan.

Sekiranya orang yang disaman ingin menafikan sebarang isi kandungan dalam Saman tersebut, mereka boleh, melalui peguambela yang dilantik, memfailkan Pembelaan terhadap Saman tersebut sebelum tamat tempoh empat belas (14) hari selepas masa yang dihadkan untuk kehadiran atau selepas saman tersebut disampaikan kepadanya sepertimana yang tertakluk di bawah Aturan 18 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Maka, setiap orang yang disaman tidak sepatutnya mendiamkan diri dan mengabaikan Saman yang diterima kerana tindakan selanjutnya boleh diambil dan dikenakan terhadap mereka. Contohnya, pihak yang menyaman boleh masukkan Perakuan Ketidakhadiran dan Penghakiman Ingkar Kehadiran jika mereka gagal untuk memasukkan Memorandum Kehadiran dalam tempoh yang telah ditetapkan. Akibatnya, Penghakiman tersebut boleh dikuatkuasakan terhadap mereka dan selanjutnya berkemungkinan menyebabkan mereka dikenakan tindakan kebankrapan, penyitaan dan penjualan harta-harta, termasuklah dipenjarakan dan sebagainya.

Inilah apa yang berlaku dalam kes Wire & Wireless Sdn Bhd v Mohd Taib Hassan & Ors  [2023] 1 LNS 925 dimana pihak Defendan  adalah penjamin-penjamin bagi sejumlah wang terhutang kepada Plaintif. Plaintif telah menyampaikan saman secara kediri dan pos kepada pihak Defendan, tetapi Defendan-Defendan telah gagal untuk memasukkan kehadiran mereka. Maka, Plaintif memfailkan Perakuan Ketidakhadiran dan Penghakiman Ingkar Kehadiran terhadap Defendan-Defendan dan Mahkamah memutuskan mereka untuk membayar kos sebanyak RM10,000 seorang kepada Plaintif.

Oleh itu, orang yang disaman sangat disarankan untuk tidak sesekali mengabaikan Saman yang diterima oleh mereka. Sebaliknya, mereka perlu memahami kandungan Saman tersebut dan mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan untuk mengelakkan diri mereka daripada dikenakan tindakan yang lebih memburukkan keadaan mereka.

Share This Post:

More News & Events

Shopping Cart
Open chat
Hi,
How can we help you?
Whatsapp us here.