Setiap individu pasti akan terlintas dalam fikiran untuk membeli rumah. Mungkin ada yang ingin membeli rumah kedua dan seterusnya ataupun baru pertama kali ingin membeli rumah setelah sekian lama menyewa. Semuanya pasti ada sebab masing-masing dan mungkin buat yang ingin membeli rumah pertama, perkara ini agak sukar untuk diuruskan walaupun dalam hati sudah sangat teruja untuk memiliki hartanah atas nama diri sendiri.
Oleh yang demikian, individu yang hendak membeli rumah kediaman perlulah mendapat nasihat atau khidmat peguam hartanah yang pastinya sudah arif dan lebih berpengetahuan tentang urusan jual beli rumah. Ini juga bagi mengelakkan pembeli rumah daripada tersalah langkah dalam urusan pindahmilik rumah lagi-lagi prosedur ini akan melibatkan jumlah kos yang sangat besar.
Sebelum urusan pindahmilik berlaku, peguam hartanah akan menyiapkan satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Jual Beli ataupun Sale and Purchase Agreement. Maka, peguam akan menyemak terlebih dahulu beberapa dokumen dan maklumat penting yang berkaitan dengan urusan jual beli rumah seperti yang berikut:-
1) Kad Pengenalan
Dalam apa-apa urusan pun, IC adalah dokumen paling penting untuk mengesahkan bahawa individu tersebut adalah orang yang betul dan layak untuk urusan tersebut. Melalui kad pengenalan inilah peguam akan membuat carian dan ‘due diligence’ supaya orang-orang yang terlibat tidak akan melakukan sebarang penipuan atau scam sama ada bagi pihak penjual mahupun pembeli.
2) Salinan Geran Hakmilik
Dokumen ini adalah penting bagi menentukan bahawa rumah tersebut boleh dijual ataupun tidak. Peguam pembeli akan mendapatkan dokumen ini daripada peguam penjual dan melakukan benda yang sama seperti IC iaitu carian rasmi dan ‘due diligence’ untuk mengenalpasti status kepemilikan hartanah tersebut, jenis hakmilik, sekatan-sekatan kepentingan, dan perkara-perkara lain.
3) Booking Form/ Offer to Purchase
Sebahagian individu mungkin membeli rumah dari agen jual rumah dan dokumen ini perlu diisi dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak penjual dan pembeli. Dokumen ini mempunyai beberapa maklumat yang telah dipersetujui antaranya adalah harga jualan rumah, peratus deposit yang perlu dibayar oleh pembeli, maklumat asas penjual dan pembeli dan juga tempoh masa yang dijanjikan untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli sekaligus membayar harga jualan rumah kepada penjual. Selain itu, dokumen ini juga diperlukan semasa pembeli ingin memohon pinjaman pembiayaan perumahan di bank.
4) Harga rumah yang hendak dibeli
Perkara ini sudah semestinya pembeli akan membuat semakan terlebih dahulu untuk menentukan sama ada seseorang itu mampu atau tidak untuk membeli rumah. Selain itu, mungkin ada segelintir individu yang kurang pasti berapa sepatutnya yuran guaman yang perlu dibayar untuk urusan ini. Untuk pengetahuan semua, kadar yuran guaman bagi urusan jual beli rumah yang terkini adalah 1.25% daripada harga jualan rumah tersebut dan ianya tidak termasuk kos-kos lain yang dikeluarkan oleh pejabat peguam seperti pendaftaran di pejabat tanah, kos pengangkutan, kos fotokopi dokumen dan lain-lain.
5) Cukai Tanah dan Cukai Pintu
Peguam pembeli akan mendapatkan beberapa dokumen daripada peguam penjual dan antaranya adalah cukai pintu dan cukai tanah. Untuk setiap pemilik rumah, dua perkara ini akan dibayar setiap tahun sehinggalah rumah tersebut dipindahmilik kepada orang lain. Melalui salinan cukai-cukai ini, peguam pembeli akan menyemak alamat dan butiran hakmilik yang ada di Perjanjian Jual Beli dan juga untuk memastikan tiada tunggakan cukai yang belum dibayar oleh peguam penjual.
Sekiranya rumah tersebut masih belum dikeluarkan geran hakmilik individu atau hakmilik strata, peguam pembeli perlu menghubungi pihak pemaju untuk mendapatkan beberapa dokumen penting. Prosedur untuk membeli rumah juga berbeza sekiranya hakmilik individu atau strata belum diperolehi dan tempohnya mungkin akan lebih lama. Antara dokumen yang diperlukan adalah; salinan hakmilik induk (Master Title), salinan perjanjian jual beli terdahulu, senarai pengarah syarikat (List of Directors), surat akujanji dan sebagainya.
6) Pinjaman Pembiayaan Perumahan (Housing Loan)
Perkara penting yang perlu diambil berat oleh pembeli rumah jika ingin membeli rumah menggunakan pinjaman pembiayaan perumahan adalah sama ada harga rumah mencapai harga minimum untuk memohon pinjaman jika disemak bersama dengan jumlah pendapatan dan komitmen pembeli. Pembeli boleh bertanya dengan pihak bank dahulu mengenai kelayakan dan cara kiraan loan rumah. Pembeli juga perlu memaklumkan kepada peguam sekiranya loan rumah telah diluluskan supaya boleh diteruskan dengan pembayaran deposit dan tandatangan Perjanjian Jual Beli.
Selain yang dinyatakan atas, terdapat beberapa perkara lain juga yang perlu diambil tahu oleh kedua-dua pihak penjual dan pihak pembeli sebelum membut keputusan untuk membeli rumah. Oleh itu, pihak-pihak boleh berjumpa dengan peguam hartanah yang berkelayakan dahulu dan meminta nasihat guaman atas perkara-perkara yang perlu dilakukan atau dokumen-dokumen yang perlu disediakan bagi melancarkan prosedur jual beli rumah tersebut.