Advocates . Solicitors . Syarie Counsel . Certified Mediator

News & Events

HIBAH & KEPENTINGAN PENGURUSAN HARTA PUSAKA MELALUI HIBAH

Keluarga terdekat menjadi musuh dan nasib anak dan isteri tak terbela adalah antara isu yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat beragama Islam di negara kita angkara perebutan harta pusaka. Tambahan pula, kajian menunjukkan terdapat 70 bilion harta pusaka beku, yang tidak diuruskan di Malaysia, dan 90 peratus daripadanya adalah milik orang islam. Berdasarkan penelitian, antara faktor utama adalah kerana kurang ilmu perancangan mengenai harta pusaka.

Kemelut keluarga seperti di atas dapat dielakkan sekiranya wujud perlaksanaan perancangan kewangan dengan cara HIBAH. 

HIBAH

Hibah ialah pemberian harta milik seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan dengan menggunakan ijab dan qabul.

Kadar hibah boleh ditetapkan oleh pemberi hibah itu sendiri dan tiada jumlah yang terhad namun adalah sunat mengikut jumhur ulamak untuk diberikan harta secara sama rata.

Pemberi hibah adalah seseorang yang boleh menguruskan hartanya sendiri dan harta yang dihibahkan adalah milik pemberi hibah.

Penerima hibah adalah sesiapa sahaja, daripada kalangan keluarga, rakan-rakan, yang sihat dan ahli, mahupun tidak, tanpa mengira agama. Namun, jika penerima itu tiada keahlian utk menguruskan harta yang diterima, pemegang Amanah haruslah dilantik untuk menguruskan harta tersebut. Oleh itu, penerima yang gila, kanak-kanak dan sebagainya tidak akan memberi kesan kepada kontrak hibah tersebut.

Jenis-jenis Hibah

1.Hibah Mutlak

Pemberian secara terus daripada penghibah kepada penerima hibah.

Contoh: Bapa menghibahkan sebuah rumah kepada anaknya dan terus melaksanakan pindah milik kepada nama anak.

2. Hibah sementara

Hibah sementara ialah pemberian hibah seperti biasa tetapi melibatkan tempoh masa tertentu.

a. Hibah ‘Umra

Pemberian semasa tempoh hayat penerima faedah hibah dengan syarat harta tersebut dipulangkan kepada pemberi hibah sekiranya berlaku kematian penerima hiba dalam keadaan pemberi hibah masih hidup.

Penerima hibah boleh memanfaatkan harta hibah selama mana pemebri hibah masih hidup atau penerima hibah masih hidup. Ia juga mengembalikan harta hibah kepada waris penerima hibah

Contoh: aku hibahkan rumah itu untuk kamu sementara aku atau kamu masih hidup. Kalau aku mati, rumah itu jadi pusaka untuk waris aku. Kalau kamu mati dulu, rumah itu jadi milik aku Kembali.

b. Hibah Ruqba

Apabila berlaku kematian salah seorang daripada pemberi atau penerima hibah, maka yang hidup akan memiliki harta tersebut. Pemberi hibah mensyaratkan bahawa harta hibah hanya diberikan kepada penerima hibah selepas pemberi hibah meninggal dunia. Jika penerima meninggal terlebih dahulu, maka harta akan Kembali kepada pemberi hibah.

Contoh: Aku hibahkan rumah itu kepada kamu dan kamu akan dapat rumah itu selepas aku mati. Kalau aku mati dulu, rumah itu jadi rumah aku, bukan milik waris kamu.

3. Hibah bersyarat

Jika pemberi hibah ada kerisauan akan kemungkinan-kemungkinan perkara yang tidak diingini untuk berlaku, pemberi hibah boleh laksanakan hibah dengan meletakkan syarat pengambil milikan hibah cuma akan berlaku setelah kematian pemberi hibah.

Perletakan syarat adalah dibernarkan selepas berlaku ijab dan qabul

4. Hibah Amanah

Hibah Amanah ialah hibah yang digabungkan dengan konsep Amanah. Harta yang terlibat dalam hibah amanah akan dipegang amanah untuk tempoh yang dipersetujui sebelum ia diserahkan kepada penerima hibah sepenuhnya. Pemegang Amanah ialah seseorang yang diberi kuasa untuk menggantikan penerima hibah bagi menjalankan hak-hak sivil (wakalah), mentadbir harta pusaka si mati dan harta anaknya yang masih kecil selepas kematiannya (wisoyah) atau menyimpan harta atau asset yang dimiliki atas nama orang lain bagi tujuan keselamatan (wadi’ah) (5).

Masa Hibah

Dokumentasi hibah dibuat pada waktu hidup dan perlaksanaan pindah milik akan dilaksanakan semasa hidup atau mati berdasarkan persetujuan pemberi dan penerima hibah.

Penarikan balik Hibah

Hibah yang telah sempurna akan berkuatkuasa serta merta dan tidak boleh ditarikbalik, kecuali hibah ibubapa terhadap anaknya atau datuk kepada cucu (6). Berdasarkan kes Salmiah bi Che Hat lawan Zakaria bin Hashim, bapa boleh menarik balik pemberian termasuk hadiah dan sedekah. Antara syarat yang membolehkan untuk menarik balik hibah ialah, barang yang dihibah maih dalam milik anaknya. Oleh itu, ditegah untuk menarik balik barang yang telah hilang kuasa milik anak seperti telah dijualkan atau diwakafkan.

Contoh pengamalan hibah:

  • Hibah tanah

Hibah dalam perancangan tanah bermaksud anda menjadi penerima asset yang diwariskan kepada anda. Jika pemilik sah asset menghibahkan hartanahnya kepada anda, anda akan menjadi pemilik hartanah tersebut. (1)

  • Hibah Takaful

Pemberian secara kasih sayang semasa hidup dalam bentuk pampasan takaful.

  • Hibah harta masih dalam hutang bank atau gadaian

Hibah dibolehkan dengan syarat;

a. Hibah boleh dibatalkan

b. Menyediakan dokumen deklarasi hibah dan Surat kuasa wakil

c. Keseluruhan pinjaman dijamin oleh takaful/insuran MRTT/MRTA.

d. Penerima hibah akan menerima hibah beserta bebanannya. Maka penerima harus menyelesaikan hutang harta bercagar (jika ada) sebeum pindah milik kepada penerima hibah selepas pemberi hibah meninggal dunia

Kesimpulan

Kematian adalah pasti dan kita sewajarnya bertanggungjawab terhadap keluarga dan orang yang kita kasihi. Jangan letakkan mereka di dalam keadaan sukar. Oleh itu, rancanglah awal dengan membuat hibah dan ia mungkin menjadi asbab kepada kebahagiaan dan mengelakkan pertelagahan keluarga serta penganiayaan kepada orang yang kita tinggalkan.

Share This Post:

Shopping Cart
Open chat
Hi,
How can we help you?
Whatsapp us here.