Perjuang Matlamat Sama
Atiqah,Syafiqah sentiasa utamakan integriti,jujur, saling bantu.
Dua wanita ini adalah pasangan kembar iaitu Syafiqah Abdul Razak dan Atiqah Abdul Razak yang mana mereka sedang meningkat naik dalam bidang guaman dengan memiliki firma guaman sendiri sejak tiga tahun lalu iaitu Atiqah Syafiqah Associates yang terletak di Batu Caves, Selangor.
Berkongsi mengenai bakat mereka sehingga memilih bidang guaman sebagai pilihan kerjaya bagi kembar ini, Syafiqah berkata, sejak di bangku sekolah lagi pasangan ini sememangnya pelajar yang aktif dan sering menyertai forum serta debat peringkat sekolah.
Namun, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehi sedikit tidak memuaskan seterusnya menghalang untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam yang diimpikan.
Namun,kegagalan itu tidak menjadi penghalang untuk terus mengejar cita-cita sejak kecil iaitu menjadi seorang peguam.Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di tingkatan 6.
Syafiqah berkata, mereka berlajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya bergelar pelajar cemerlang apabila memperoleh keputusan terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Alhamdulilh selepas mendapat keputusan STPM pada 2007, kami berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Undan-undang di Universiti Antarabangsa (UIA) pada 2014.
“Tidak berhenti dengan kelulusan yang ada, setelah berkerja lebih kurang dua tahun dengan firm guaman berbeza, kami sambung pula dalam bidang Diploma Lepasan Ijazah Syariah & Amalan di Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM)pada 2016 bagi menimba lagi ilmu dan pengalaman”katanya.
Syafiqah dan kakak kembarnya yang berasal dari Perak ini juga berkongsi bidang kerjaya iaitu peguam bela dan peguam cara berlainan pengkhususan.
“Atiqah lebih kepada peguam hartanah,manakala saya pula lebih fokus dalam undang-undang Syariah dan Litigasi Sivil.Jadi tugas kami tidak bertindih antara satu sama lain.
“Pada asalnya masing-masing berkerja di firma yang berbeza iaitu Tetuan Syafiqah Razak & Co ,sebelum bergabung dan menukar nama Atiqah Syafiqah & Associates pada awal 2017,”katanya.
Perlu ada keberanian.
Syafiqah berkata,sesi pembelajaran mereka juga masih diteruskan sehinga kini.
“Kami juga mencari ilmu secara “online” dan “offline” yang buka sahaja berkenaan ilmu undang-undang tetapi juga memahami konteks al-Quran.
“Sejak itu, kekuatan kami dalam bidang guaman yang penuh dengan cabaran ini adalah al-Quran.Kami akan lakukan yang terbaik dalam setiap kes, biarpun akhirnya kes itu menang atau kalah, ia biasa.
Sebagai peguam juga, pasangan kembar ini berkata,perlu ada keberanian bercakap hadapan khalayak ramai, selain mempunyai integriti yang teguh bagi mengelak tergelincir dek pelbagai godaan.
“Apabila kami menjadikan kerjaya ini sebagai cita-cita sejak kecil dan mahu ia terus berjaya, kami sentiasa tanamkan dalam diri untuk sentiasa ikhlas dan jujur dalam membantu pelanggan bagi kes yang diterima.
“Tidak kisah ia kes besar atau kecil, kami sedaya upaya buat yang terbaik agar kes tersebut berjaya diselesaikan. Contohnya,kini kami sedang mengendalikan kes berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) pula”,ujarnya.
Terlibat dalam NGO
Sementara itu, Atiqah pula berkongsi selain terlibat dengan tugas di firma sahaja, bagi meluaskan skop tugas mereka untuk membantu mereka yang memerlukan, pasangan ini turut terlibat dengan aktiviti badan bukan kerajaan (NGO).
“Daripada penglibatan itu, kami beberapa kali berkongsi mengenai kesedaran pelbagai gejala yang membimbangkan seperti pornografi dan pedophilia dan juga berkaitan hak-hak wanita.
“Ia selari dengan tugas kami sebagai peguam wanita, pastinya mahu membela nasib wanita terutama yang teraniaya atau cetek ilmu mengenai undang-undang apabila menghadapi masalah untuk mereka bangkit dan sedar langkah boleh diambil dari sudut undang-undang.
“Namun, saya juga mahu tegaskan yang “peguam bukanlah tuhan”.Kami hanya lakukakn yang terbaik untuk membantu pelanggan menang kes masing-masing,”ujarnya mengakhiri perbualan.
Atiqah dan Syafiqah juga bersyukur kerana ibu bapa, Abdul Razak Mohmad serta Fazhimah Ahmad banyak menyokong mereka sejak kecil hingga ke hari ini.
Kredit: Akhbar Sinar Harian ruangan femina
Ahad, 15 Julai 2018
Wartawan: Noor Ainulyakin Ishak